Menurut Dr. Hargeet Kaur a/p Basant singh (2013), buli siber
adalah satu kejadian yang biasa berlaku dan kian meningkat. Insiden sebenar
kejadian buli siber tidak diketahui kerana ramai mangsa buli siber tidak tampil
untuk mendapatkan bantuan. Buli siber adalah perbuatan mengancam, memalukan
atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti mesej teks (SMS),
chatting, e-mel, laman web sosial, telefon bimbit atau permainan internet.
Terdapat beberapa jenis buli siber iaitu mesej yang mengganggu dan mengancam, penyalahgunakan
kata laluan atau nama skrin orang lain atau menyamar sebagai orang lain, memanjangkan
e-mel, foto atau video kepada orang lain, memuat naik komen atau gambar yang
tidak senonoh, sexting (tindakan menghantar gambar, mesej atau video
berunsurkan seksual menggunakan telefon bimbit) dan memulaukan individu
tertentu daripada sesuatu kumpulan internet dengan sengaja.
Antara
faktor yang menyebabkan isu buli siber berlaku ialah kemudahan internet adalah
cepat dan mudah diperolehi. Sejak adanya Protokol Aplikasi Tanpa Wayar, sistem
yang membolehkan pengguna mengakses internet dengan menggunakan telefon bimbit
terutamanya telefon pintar, banyak rakyat yang memiliki telefon akan mengemaskini
diri dan peka akan apa-apa sahaja yang diheboh atau dikongsi dalam laman web
sosial tanpa menghiraukan ketepatan maklumat tersebut. Adanya yang akan tokok
tambah lagi informasi yang salah mengenai hal tersebut dan menyebarkan kepada
orang lain. Perkara yang mungkin dibuat secara bergurau senda mungkin dijadikan
sebagai satu isu atau kes yang serius dan menyinggungkan perasaan. Kumpulan
“keyboard warriors” yang hanya lantang bersuara di hadapan komputer atau
peranti mereka juga menyebabkan isu ini berlaku. Mereka merahsiakan identiti
mereka, seolah mereka rasa selamat selepas membuat sesuatu kenyataan di media
sosial. Malangnya, mereka tidak tahu melakukan penapisan sendiri
sebelum meluahkan perasaan dan ini menimbulkan kes-kes buli siber.
Menurut Syafique Shuib (2014),
beberapa kes siber buli mendapat liputan luas media cetak dan elektronik tanah
air. Sebagai contoh, dalam kemenangan model Malaysia Sheena Liam dalam program
‘Asia’s Next Top Model’ musim kedua, beliau dikecam oleh peminat program
berkenaan khususnya yang berasal dari Filipina kerana Sheena menewaskan dua
peserta dari Filipina untuk menjadi juara. Namanya terus menjadi hangat tidak
kira di laman web sosial ataupun media arus perdana. Mereka mengkritik Sheena
yang mereka rasakan tidak layak untuk menang. Mereka turut mengeluarkan
kata-kata kesat di laman Instagram milik Sheena. Selain itu, aksi buli yang
dirakam dan disebarkan di media sosial menjadi trending. Contohnya, aksi tiga
pelajar perempuan yang dikenali sebagai “Gadis Pailang”. Kejadian itu berlaku
pada bulan April, namun video itu mula tersebar luas di media sosial pada bulan
Jun. Siti Fairrah Asyikin Kamaruddin juga terkenal selepas susulan tindakan
beliau yang mengamuk setelah keretanya dilanggar seorang warga emas yang
dikenali sebagai Sim Siak Hong. Aksi-aksi ini memaparkan insiden buli pada
laman web sosial dan isu-isu tersebut disebar secara berluasan.
Buli
siber yang teruk atau kronik boleh menyebabkan mangsa menjadi resah, murung serta
penyakit lain yang berkaitan dengan tekanan. Penyebaran maklumat yang palsu
tentang mangsa buli siber dalam internet terutamanya laman web sosial menyebabkan
mangsa itu menjatuhkan muka mereka kerana laman web sosial ialah pelantar
seluruh dunia untuk penyampaian maklumat dan berita yang terkini. Mereka akan
berasa seolah-olahnya seluruh dunia sedang tertumpu akan mereka dan mereka akan
sentiasa gelisah dan bimbang akan pandangan orang lain. Dalam kes tertentu yang
lebih serius lagi, buli siber boleh menyebabkan mangsa membunuh diri apabila
mangsa tidak dapat menanggungkan lagi tekanan yang terdapat pada mangsa
tersebut.
Generasi muda atau
pelajar-pelajar yang merangkumi peratus yang tinggi dalam bilangan pengguna
laman web sosial perlu dididik tentang keselamatan internet dan etika melayari
internet betul. Usaha ini dapat membentuk masyarakat yang berbahasa dengan penuh
sopan santun dalam alam siber. Ibu bapa, guru dan kaunselor sekolah perlu
mengajar mereka agar jangan kongsi butiran peribadi mereka di internet. Penghantaran
atau memanjangkan mesej yang kesat atau berunsurkan ancaman adalah tidak wajar
dan boleh menyalahi undang-undang. Tambahan pula, ceramah-ceramah dan kempen-kempen
yang berkaitan dengan isu ini harus dianjurkan dan dialu-alukan supaya dapat
meningkatkan kesedaran dalam masyarakat kita.
Menurut Syafique
Shuib (2014), statistik daripada Kumpulan Tindakan Kecemasan Komputer Malaysia
(MyCERT) melaporkan terdapat 516 aduan mengenai gangguan siber pada tahun 2014.
Pada 2013, MyCERT menerima 512 aduan. Pada 2012, MyCERT menerima hanya 300
aduan untuk gangguan siber. Kita hanya tertarik dan menumpukan perhatian kepada
apa-apa sahaja ‘kenyataan’ yang ada dalam laman sarang tanpa memahami apakah
yang berlaku sebaliknya. Kita sepatutnya memahami secara lebih teliti sebelum
kita kutuk berita yang disebar supaya tidak menyebabkan sesuatu yang tidak
diingini. Pertuturan yang berbudi dalam alam siber akan mengurangkan kes buli
siber.
0 comments: