ISU PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI)




            Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (2009), Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ialah nama rasmi bagi salah satu Dasar Pendidikan Malaysia yang menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan. Dasar PPSMI sering menjadi isu perdebatan yang hangat semenjak dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada tahun 2003.
Kementerian Pelajaran Malaysia (2009) mengatakan bahawa Pihak Kerajaan telah mengenalkan penukaran bahasa pengantar dalam PPSMI daripada bahasa Melayu adalah atas dasar keprihatinan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi. Bidang sains dan matematik adalah bidang yang paling asas dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Pelbagai inovasi dan penemuan baru dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris. Selain itu, bahasa Inggeris adalah bahasa hubungan antarabangsa dan penguasaan dalam bahasa ini memudahkan perolehan ilmu dalam bidang ini.
            Isu PPSMI telah termaktub sebagai keputusan Dasar Kerajaan Malaysia hasil daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002 mengikut Kementerian Pelajaran Malaysia (2009). Pelaksanaan PPSMI adalah secara berperingkat, bermula pada sesi persekolahan tahun 2003 dengan perintisnya ialah semua murid Tahun 1 untuk peringkat Sekolah Rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 6 Rendah. Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat Sekolah Menengah ialah pada tahun 2007 manakala untuk peringkat Sekolah Menengah sementara dan peringkat Sekolah Rendah ialah pada tahun 2008.

            
       Isu PPSMI telah membawa kesan buruk terhadap Bahasa Melayu, bahasa pengantar sebelum pelaksanaan PPSMI. Pelaksanaan dasar tersebut telah menjatuhkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa pasar yang hanya digunakan untuk bertutur. Kedudukan Bahasa Melayu dalam semua bidang akan jatuh dan kemungkinan akan di bawah penggunaan kedua-dua bahasa yang lain iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin. Selain itu, pelajar terutamanya pelajar Melayu mempunyai penguasaan ilmu sains dan matematik yang lemah selepas pelaksanaan PPSMI. Mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan penukaran bahasa pengantar pengajaran dan pembelajaran secara tiba-tiba kerana sudah membiasakan diri dengan Bahasa Melayu. Perkataan atau sebutan yang digunakan dalam Bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek jauh berbeza jika dibandingkan dengan Bahasa Melayu dan ejaannya tidak sama.
            Pada pendapat saya, antara cara penyelesaian isu ini adalah dengan meneguhkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid. Subjek-subjek seperti Sejarah dan Pendidikan Jasmani boleh menukar bahasa pengantar kepada Bahasa Inggeris juga dan pengenalan kepada karya tulisan Bahasa Inggeris seperti subjek literasi dalam Bahasa Inggeris dapat mengukuhkan lagi penggunaan Bahasa Inggeris. Namun, sekiranya sukatan dan dasar PPSMI tidak membawa keberkesanan kepada pelajar-pelajar, maka Bahasa Melayu patut diteruskan sebagai bahasa pengantar kepada subjek Sains dan Matematik seperti dasar yang dijalankan sebelum ini.
            Mengikut Kementerian Pelajaran Malaysia (2009), keputusan dasar untuk melaksanakan PPSMI bertujuan memastikan penguasaan yang lebih baik dalam sains dan matematik di kalangan pelajar memandangkan sebahagian besar sumbernya adalah dalam bahasa Inggeris. Secara tidak langsung, pelaksanaan PPSMI diharapkan akan turut meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Walau bagaimanapun, sekiranya pelaksanaan tersebut amat membebankan pelajar-pelajar, dasar ini perlulah diubah suaikan supaya pelaksanaan dasar PPSMI boleh membawa faedah kepada pelajar dan bukannya menyusahkan pembelajaran pelajar.



0 comments: