PENDERAAN KANAK-KANAK

     Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup sihat dan bebas dari keganasan. Setiap tahun, sekurang-kurangnya 2,000 kanak-kanak di Malaysia dilaporkan menjadi mangsa penderaan dan pengabaian kanak-kanak. Penderaan kanak-kanak adalah masalah global yang besar. Ia memberi impak serius terhadap kesihatan mental dan pertumbuhan fizikal kanak-kanak, kesejahteraan dan perkembangan sepanjang kehidupan mereka, dengan itu ia menjadi masalah masyarakat secara amnya.
     Jabatan Kesihatan Malaysia menyatakan bahawa menurut WHO Pasukan Pencegah dan Kecederaan Keganasan,1999, penderaan kanak-kanak adalah merangkumi semua jenis penderaan fizikal dan emosi, penderaan seksual, pengabaian, kelalaian, eksploitasi komersial atau lain-lain eksploitasi, yang boleh atau telah menyebabkan kerosakan, kepada kesihatan kanak-kanak, dari segi perkembangan atau harga diri. Ini adalah dalam konteks di mana pendera ada perhubungan tanggungjawab, kuasa atas kanak-kanak berkenaan atau pendera ialah seseorang yang dipercayai oleh kanak-kanak. Jumlah penderaan kanak-kanak dilihat semakin bertambah walaupun masalah ini masih kurang dilaporkan daripada jumlah asalnya.
     Merujuk akhbar Utusan Malaysia yang ditulis oleh Mastura binti Mohd. Zain, kes terbaru telah melibatkan seorang kanak-kanak perempuan lima tahun dipercayai didera oleh ibu tirinya sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan patah tulang belakang, rusuk, paha termasuk dipenuhi kesan parut. 
     Masa depan kanak-kanak tersebut gelap apabila dia disahkan bakal mengalami kecacatan kekal akibat kecederaan patah 13 tulang di seluruh badan.Keadaan tersebut berlaku kerana mangsa tidak pernah dirawat dan semua kecederaan yang dialami dibiarkan sembuh dengan sendiri sejak dia mula didera kira-kira enam bulan lalu. Kanak-kanak itu juga mengalami kekurangan zat yang kronik menyebabkan berat badannya susut hingga 15 kilogram iaitu menyamai berat budak berusia tiga tahun. Kes ini dilihat begitu zalim terhadap kanak-kanak tersebut.
      Oleh itu, Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 telah menetapkan penderaan terhadap kanak-kanak kurang upaya dan normal adalah termasuk kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau penderaan kanak-kanak. Jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dihukum denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya. Antara tujuan utama sesuatu undang-undang dikuatkuasakan adalah untuk mendidik dan mengatur kehidupan sesebuah masyarakat, bukannya menghukum walaupun biasanya apabila seseorang melanggar undang-undang, mereka harus dihukum. Justeru bagi mencapai proses pendidikan kepada masyarakat, pendedahan dan penerangan haruslah diberikan secara berterusan. Ini agar mereka menjadi masyarakat yang celik undang-undang. Apabila masyarakat lebih peka, maka tindakan pencegahan akan menjadi lebih senang. 
     Kes penderaan kanak-kanak mungkin berpunca daripada tekanan perasaan, hutang, perceraian, tekanan hidup yang menghimpit kehidupan orang ramai selain kurangnya kasih sayang dalam institusi keluarga. orang ramai juga akan dapat memainkan peranan dan melaporkan sebarang kes yang berlaku bermula di kawasan berhampiran kediaman masing-masing. Masyarakat boleh melaporkan kes penderaan kanak-kanak ini kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat, mana-mana balai polis, merujuk terus kepada hospital jika kanak-kanak tersebut diperolehi atau menelefon Talian telefon Teledera iaitu 1 800 88 3040. Dengan keprihatinan semua rakyat, kes ini mungkin dapat dikurangkan seterusnya dibendung.

0 comments: